KUALA LUMPUR – Arena sukan olahraga tanah air menerima perkhabaran duka dengan pemergian bekas ratu pecut kebangsaan pada era 60-an, Rajemah Sheikh Ahmad, yang meninggal dunia hari ini.
Menurut anaknya, Kama Rezuan Kamaruddin, 49, arwah Rajemah, 77, yang merupakan naib presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.30 tengah hari tadi di kediamannya di Taman Permint Jaya, Kuala Terengganu, selepas menderita kanser pankreas tahap empat.
“Arwah ibu akan disemadikan pada jam 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, salah seorang teman rapat Allahyarham Rajemah, Datuk Mumtaz Jaafar, yang juga merupakan Timbalan Presiden KOM, menyifatkan berita pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar buat dunia olahraga negara.
Mumtaz, yang juga bekas ratu pecut negara era 80-an, berkata arwah dikenali sebagai seorang yang sangat aktif dalam sukan olahraga sehingga ke akhir hayatnya termasuk banyak menabur bakti dalam memajukan sukan berkenaan bagi negeri kelahirannya di Terengganu sehingga berjaya melahirkan banyak atlet pelapis kebangsaan.
“Arwah ibarat kakak kepada saya, banyak saya belajar bidang pengurusan daripadanya, sukar mencari pengganti yang mempunyai minat mendalam dalam dunia olahraga sepertinya.
“Malah, arwah ketika dimasukkan ke hospital sebulan lepas masih bersemangat menghadiri mesyuarat KOM diadakan secara maya,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu hantaran di laman Facebook turut berduka dengan kehilangan Rajemah dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah berhubung berita pemergiannya.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” menurut hantaran berkenaan.
Antara pencapaian arwah Rajemah adalah menyumbang pingat perak pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara Ketiga Kuala Lumpur pada 1965 melalui acara kegemarannya iaitu 80 meter (m) lari berpagar wanita selain meraih gangsa dalam acara 4x100m bersama bersama Datuk M. Rajamani, P. Savathri dan Cheryl Doral pada Sukan Asia di Bangkok pada 1966.
Allahyarham, juga bekerja sebagai seorang guru selama 33 tahun mulai 1965 hingga 1998, selain aktif dalam pentadbiran sukan apabila dipilih menyandang beberapa jawatan kepimpinan seperti di Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu; Persatuan Olahraga Negeri Terengganu; Persatuan Olahraga Asia dan KOM. – Bernama