Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beberapa lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Sabtu ini bagi membendung penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur, serta Ladang Tereh Mill di Kluang, Johor.

Dalam tempoh sama, Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1 di Putatan, Sabah; Kampung Kolong 2 di Kuching, Sarawak serta Kampung Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu, Terengganu.

“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, lima lokaliti akan ditamatkan PKPD pada tengah malam esok iaitu Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu; Mukim Sitiawan, Manjung, Perak; Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah; Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah; dan Kampung Sungai Langgas di Kunak, Sabah. – MalaysiaGazette