Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menegaskan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) akan terbatal sekiranya Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang baru dihantar semula oleh kerajaan negeri tidak diluluskan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Presidennya, Oh Tong Keong berkata, penjelasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung kelestarian alam berkaitan PSR tidak boleh diguna pakai sebelum KASA membuat keputusan berdasarkan tahap kerosakan yang bakal terjadi ke atas alam sekitar. 

Jelas Tong Keong, kerajaan negeri tidak perlu menambak laut susulan masih banyak tanah di kawasan seberang (tanah besar) boleh dituntut dan digunakan untuk pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Apa yang penting ketika ini adalah EMP yang baru dihantar itu mendapat kelulusan KASA.

“Tanpa kelulusan kementerian itu, projek penambakan laut akan turut terbatal. 

“Kami dapati terdapat kelemahan dalam kenyataan media Kon Yeow ketika menjawab balas permintaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membatalkan projek penambakan laut itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong, kerajaan negeri perlu mengimbangkan pembangunan di kawasan pulau dan seberang.

“Mengapakah perlu letak peranti pengumpulan ikan dan penanaman pokok bakau sekiranya projek itu tidak akan merosakkan ekosistem perairan laut? 

“Selain itu, dalam kenyataan terdahulu kerajaan negeri menyatakan pantai awam dan esplanade tepi laut akan disediakan di atas pulau buatan itu untuk tujuan rekreasi sedangkan Pulau Pinang sudah dilengkapi pantai peranginan.

“Kerajaan negeri seharusnya mempromosikan kawasan alam semula jadi ini melalui pakej ekopelancongan dan bukannya menyediakan kemudahan ini melalui projek penambakan,” katanya. 

Tambah beliau, Gerakan tidak membantah sebarang projek pembangunan, tetapi projek PSR itu bakal mendatangkan impak yang besar ke atas alam sekitar.

“Ini adalah sebabnya banyak pihak membantah pelaksanaan projek ini. Menjadi persoalan mengapa pihak kerajaan negeri terus berdegil untuk melaksanakan projek ini sungguhpun pelbagai pihak telah buat bantahan,” kata Tong Keong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast