Kereta dan dadah jenis heroin yang dirampas susulan tangkapan tiga lelaki warga tempatan pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jenis heroin menerusi serbuan di Pandan Indah dan Gombak pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang menjalankan Op Tapis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah 21.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, anggota kemudiannya memeriksa sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di kawasan perumahan tersebut dan menemui sejumlah dadah disyaki jenis heroin seberat 830 gram yang disorok di dalam bahagian ‘bumper’ hadapan kereta.

“Pada hari yang sama sekitar pukul 3.45 petang, JSJN IPD Ampang Jaya turut menyerbu sebuah bengkel di kawasan Gombak dan menahan dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun yang dipercayai mempunyai rangkaian dalam aktiviti pengedaran dadah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis ‘meth’.

Tambah beliau, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin di sekitar Lembah Klang dan kesemuanya direman sejak semalam sehingga 16 Jun ini untuk siasatan lanjut.

“Kita anggarkan keseluruhan rampasan dadah ini bernilai RM29,050,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette