Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 peratus daripada 1,004 pesakit Covid-19 tahap empat dan lima mengalami sindrom Post Covid selepas pulih daripada jangkitan virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan pihaknya, lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit ialah kelesuan dan kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti.

“Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post Covid.

“Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, rawatan yang ditawarkan berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terbabit dan pesakit dirujukkan kepada bidang kepakaran berkaitan bagi memastikan mereka mendapat rawatan klinikal yang optimum.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM akan terus menjalankan kajian klinikal bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post Covid dan maklumat mengenainya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette