KUALA LUMPUR – Kes seorang pelajar yang didakwa dipukul pelajar senior sebelum dipaksa menjadi ‘balaci’ sebagai syarat berdamai membuktikan isu buli di sekolah kini memerlukan tindakan lebih serius dan sistematik kata Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).
Pengerusi Pahang MCCC, Daniel Khoo berkata, kes berkenaan tidak boleh lagi dilihat sebagai masalah terpencil membabitkan sekolah atau negeri tertentu.
Sebaliknya perlu dianggap sebagai isu nasional yang memerlukan kerjasama ibu bapa, pihak sekolah, Jabatan Pendidikan dan pihak penguat kuasa.
“Buli di sekolah kini merupakan isu nasional, bukan lagi masalah sekolah atau negeri tertentu sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Daniel berkata, perhatian juga perlu diberikan terhadap faktor yang mencetuskan konflik dalam kalangan pelajar, termasuk interaksi mereka melalui ‘WhatsApp’ atau media sosial.
Ujarnya, banyak konflik sekolah bermula daripada pertengkaran dalam talian sebelum berkembang menjadi pergaduhan fizikal.
“Sekolah perlu mempunyai mekanisme yang jelas bagi pencegahan buli, saluran aduan tanpa nama, siasatan segera, tindakan disiplin, pemantauan dan tindakan susulan,” ujar beliau.
Tegasnya, mangsa dan pelaku juga perlu diberikan kaunseling supaya punca kejadian dapat dikenal pasti dan risiko kejadian berulang dapat dikurangkan.
Katanya, pengawasan terhadap pelajar senior dan junior perlu dipertingkatkan terutama ketika waktu rehat serta di kawasan yang kurang mendapat pengawasan guru.
Pada masa sama, Daniel mencadangkan liputan kamera litar tertutup diperluaskan di lokasi berisiko termasuk koridor, tangga, luar kelas, padang dan asrama.
“CCTV perlu dijadikan salah satu indikator keselamatan sekolah dan diperiksa secara berkala bagi memastikan ia berfungsi serta rakaman disimpan dengan lengkap,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan juga perlu mengkaji semula langkah antipembulian termasuk menambah tenaga kaunselor, menetapkan garis panduan pengendalian kes yang lebih jelas dan memperketat pemantauan terhadap sekolah yang mempunyai kes buli serius.
Daniel turut mencadangkan mekanisme perkongsian data kes buli antara sekolah diwujudkan bagi membolehkan intervensi dan kaunseling awal dilakukan terhadap pelajar yang dikenal pasti berisiko.
“Akta Antibuli 2026 perlu dilaksanakan secara berkesan, bukan sekadar wujud di atas kertas,” tegasnya.
Beliau berkata polis juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap kes keganasan membabitkan pelajar supaya perbuatan buli tidak dipandang ringan.
“Kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah, Jabatan Pendidikan dan pihak penguat kuasa amat penting untuk membanteras buli dari akar umbi dan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.
















