JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2026 sebagai mengiktiraf pencapaian konsisten universiti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

Anugerah diberikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu disampaikan Menterinya, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir pada Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur semalam

UTM dalam satu kenyataan memberitahu, anugerah tersebut terus memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai antara institusi peneraju dalam agenda kebolehpasaran graduan negara.

Jelas UTM, terutama apabila berjaya mengekalkan prestasi cemerlang selama lima tahun berturut-turut, termasuk merekodkan 100 peratus kadar bekerja graduan bagi tiga tahun berturut-turut.

“Ini sekali gus mencerminkan keberkesanan ekosistem pembangunan graduan yang dilaksanakan UTM secara berstruktur, menyeluruh dan berterusan,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, pencapaian itu merupakan hasil komitmen berterusan universiti membangunkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah mempunyai kompetensi, kemahiran profesional dan kesiapsiagaan untuk memenuhi keperluan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

“Pencapaian 100 peratus kadar bekerja graduan selama tiga tahun berturut-turut merupakan manifestasi usaha kolektif seluruh warga universiti dalam membangunkan ekosistem kebolehpasaran graduan yang menyeluruh.

“Bagi UTM, ukuran kejayaan bukan sekadar berapa ramai graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan, tetapi sejauh mana mereka benar-benar bersedia, bernilai danbrelevan kepada industri serta mampu memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.

Usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan UTM diperkasakan secara lebih tersusun pada 2020 menerusi pengenalan Rising Above Covid Challenges for Graduate Employability (RACE-GE), sebuah inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian kebolehpasaran graduan.

Inisiatif yang diterajui Prof Ts Dr Mohd Shafry menerusi Institute for Life-Ready Graduates (UTM iLeaGue) itu menjadi antara titik penting dalam memperkukuh pendekatan UTM terhadap agenda kebolehpasaran graduan melalui penetapan sasaran, pemantauan,

tindakan susulan serta penglibatan pelbagai pihak secara berterusan.

Kesinambungan usaha tersebut kemudiannya diperkasakan melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) mulai 2022 dengan memberi penekanan terhadap pembangunan kerjaya mahasiswa, pengukuhan kemahiran kebolehpasaran, hubungan strategik bersama industri serta pendedahan kepada realiti pasaran pekerjaan.

Bagi memperluas pelaksanaannya di peringkat fakulti, UTM turut memperkenalkan Graduate Employability Ambassador (GE Ambassador) sebagai penggerak agenda kebolehpasaran graduan yang memperkukuh penyelarasan antara UTMCC dengan fakulti mengikut keperluan dan karakteristik setiap bidang pengajian.

Pendekatan bersepadu tersebut menghasilkan pencapaian penting apabila UTM buat pertama kali merekodkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus pada 2023 sebelum mengekalkan prestasi berkenaan selama tiga tahun berturut-turut.

Ekosistem pembangunan graduan UTM turut bermula seawal tahun pertama pengajian menerusi pelaksanaan Professional Skills Certificate (PSC), selain program Latihan Industri Sukarela dan Latihan Industri Terancang bagi meningkatkan kemahiran profesional dan insaniah, pengalaman industri serta kesiapsiagaan kerjaya mahasiswa.

Pencapaian tersebut memperlihatkan bahawa kebolehpasaran graduan di UTM telah berkembang daripada sebuah indikator prestasi kepada agenda institusi yang merentas fakulti, bidang dan peringkat pengajian dengan matlamat melahirkan graduan yang kompeten, adaptif dan relevan kepada keperluan industri serta pembangunan negara.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Zambry menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan kepada Mohd Shafry pada Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran PSKG 2026–2030 di WTC, Kuala Lumpur semalam.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here