Perkongsian ilmu, pengalaman dan bimbingan memacu motivasi dan pembangunan profesional generasi muda.

KUALA LUMPUR – Seramai 726 pelajar semester akhir Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) kini menerima bimbingan daripada 28 mentor industri menerusi PSIS–PNHB Industry Excellence Mentorship Programme, satu inisiatif strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan.

Program yang julung-julung kali dilaksanakan hasil kerjasama PSIS dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) ini dilancarkan hari ini sebagai platform menghubungkan pelajar secara langsung dengan golongan profesional industri bagi memperoleh pendedahan terhadap realiti dunia pekerjaan, pembangunan kerjaya, budaya kerja serta kompetensi yang diperlukan dalam persekitaran pekerjaan sebenar.

Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Rozali Ismail, Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Puncak Niaga Holdings Berhad merangkap Penasihat Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS, yang turut memainkan peranan sebagai Chief Mentor dengan berkongsi pengalaman, pandangan dan inspirasi kepada para pelajar.

Program akan berlangsung selama empat minggu, bermula 14 September hingga 9 Oktober 2026 dan para pelajar dibahagikan kepada 13 kelas dan dibimbing oleh 28 mentor industri.

Sesi Meet and Greet antara mentor dan mentee turut berlangsung hari ini sebagai langkah awal membina hubungan serta komunikasi profesional.

Melalui pendekatan mentorship, pelajar berpeluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada profesional industri berkaitan keperluan sebenar majikan, budaya kerja, etika profesional, komunikasi, pembangunan kerjaya dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Interaksi ini turut membantu membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional serta memahami cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan sebenar.

Kerjasama strategik PSIS dan PNHB ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam merapatkan jurang antara pendidikan dan industri dalam memperkukuh pembangunan bakat, hubungan strategik dengan industri serta kesiapsiagaan graduan menghadapi keperluan pasaran pekerjaan.

Penganjuran program ini turut memperkukuh peranan PSIS sebagai institusi TVET dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah memiliki kemahiran insaniah, profesionalisme, daya saing dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

PSIS adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma dan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here