Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi kategori pembayar cukai yang menjalankan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 sehingga 31 Julai ini.

Tambahan masa ini melibatkan kategori Individu, Individu Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan / Berkepakaran), Individu Bukan Pemastautin, Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), Perkongsian, Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.

LHDN dalam satu kenyataan menjelaskan, inisiatif ini diambil selaras dengan usaha kerajaan meringankan beban pembayar cukai setelah mengambil kira kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengemukakan BNCP berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown.

“Pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan pengemukaan BNCP,” kata kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, bagi kategori Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad, Unit Amanah / Amanah Harta Tanah, Koperasi, Badan Amanah, Amanah Pelaburan Harta Tanah /Tabung Amanah Harta dan Amanah Perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 dan Tahun Taksiran 2021, tambahan masa akan dikekalkan seperti yang dinyatakan pada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.

Program Memfail Borang Nyata boleh dicapai dan dimuat turun menerusi www.hasil.gov.my > Borang > Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.

Pembayar cukai juga boleh merujuk Soalan Lazim Berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (Frequently Asked Questions – FAQ) berkaitan perkara ini dan lain-lain urusan percukaian menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf.-MalaysiaGazette