Boris Johnson. foto Agensi

CARBIS BAY, England – Peningkatan kes Covid-19 dan jumlah pesakit yang dimasukkan  ke hospital adalah masalah serius, kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sambil menyatakan kurang optimis untuk membuka kembali sekatan pergerakan negara ini.

“Adalah jelas varian India lebih mudah tersebarkan dan juga benar bahawa kes-kesnya meningkat dan tahap kemasukan ke hospital bertambah.

“Sekarang, kita tidak tahu sejauh mana perkara ini akan menyebabkan pertambahan kematian, tetapi jelas ini adalah masalah yang serius,” katanya kepada Sky News.

Johnson diharapkan akan memaklumkan mengenai perkembangan sekatan pergerakan pada hari Isnin ini.

Mengikut jadual, sekatan pergerakan itu sepatutnya berakhir pada 21 Jun ini.

Bagaimanapun media Britain melaporkan kemungkinan kelonggaran sekatan akan dilanjutkan sebulan lagi, bermakna kelonggaran diberikan pada 19 Julai nanti.

Kerajaan selalu memaklumkan, sebarang keputusan sekatan pergerakan bergantung kepada data.

Seminggu lalu, Johnson memberi amaran kenaikan kes Covid-19. – MalaysiaGazette