SPM 2021 Sijil Pelajaran Malaysia examination
SPM candidates sitting for their examination at SM Setiabudi

KUALA LUMPUR – Pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 atau Purata Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi/Matrikulasi atau setara kini boleh memohon Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) bagi tahun 2021 Peringkat Pertama.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) membuka permohonan ini sehingga 30 Julai 2021 untuk pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil Kemahiran, Diploma Kemahiran dan Diploma Akademik di universiti awam dan swasta dalam negara.

Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebanyak RM16.05 juta diperuntukkan bagi pembiayaan pendidikan ini untuk pembiayaan pelajar warganegara Malaysia berumur 18 tahun bagi lepasan SPM serta telah memperolehi surat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Jelasnya, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen YBR dalam menyokong tahap sosio ekonomi negara melalui pendidikan serta sebagai salah satu usaha dalam membantu kerajaan membantu keluarga pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang mula menular sejak awal tahun lalu.

Antara syarat bagi permohonan PPBU ini adalah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan menamatkan pengajian tidak lebih dari usia 30 tahun.

“Selain itu syarat PPBU ini adalah, Peringkat Sijil Kemahiran, Sijil, Diploma Kemahiran Dan Diploma Akademik, merupakan pelajar sepenuh masa dan Memperolehi sekurang-kurangnya 5A di dalam SPM 2020 dan sekurang-kurangnya PNGK 3.00 bagi peringkat STPM/STAM atau keputusan peperiksaan semasa Diploma,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya PPBU Peringkat Kedua iaitu bermula dari 14 Ogos 2021 sehingga 30 September 2021 untuk kategori Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Profesional dan Ph.D.

Permohonan boleh dilakukan melalui laman web www.yayasanbankrakyat.com.my. – MalaysiaGazette