Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung setelah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes.

Ketika itu sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

Semasa Fasa Kedua, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis.

Pendekatan senarai positif diteruskan hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat hari ini.

Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor namun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Perdana menteri berkata, penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot. – MalaysiaGazette