Tun Dr Mahathir Mohamad Look East Policy post-pandemic economic recovery
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ambil kisah berkenaan legasi dirinya.

Baginya, jika ditakdirkan meninggal dunia beliau tahu bahawa musuhnya tetap akan mencerca dan memburuk-burukkan dan itu bukanlah suatu perkara yang penting.

Beliau mendakwa, apa yang diusahakan akan dimusnahkan dan penyokongnya akan hanya terus menyokong.

“Saya tak kisah dengan legasi diri saya, apa yang orang fikir tentang diri saya kerana saya tahu orang yang bermusuh dengan saya akan mencercakan saya dan memburukkan saya.

“Kalau saya tak ada sekalipun segala yang saya lakukan akan dimusnahkan, yang sokong akan terus sokong. Jadi, sama ada saya nak tinggal legasi yang baik atau yang buruk, bagi saya itu tak penting,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian, hari ini.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali berkata, bukti bahawa beliau tidak mementingkan legasi ialah apabila sejak daripada awal pembabitannya dalam Kabinet sebagai Menteri Pelajaran, beliau tidak mahu sekolah-sekolah di negara ini diberi nama sempena namanya.

Katanya, tidak seperti Menteri Pelajaran yang lain apabila mereka boleh berbuat demikian sehingga ada yang turut menggunakan nama isteri untuk diletakkan sebagai nama sekolah.

Malah, perkara sama turut dilakukan apabila beliau tidak membenarkan namanya digunakan untuk menamakan jalan atau tempat tertentu.

“Kalau ada yang baik orang fikir baik, kalau tiada yang baik orang nak fikir yang buruk mereka akan terus fikir buruk.

“Lagipun masa tu saya dah tiada, bila dah tiada tiada apa nak peduli bukan boleh jawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.