Pemilik sebuah pusat gymnasium di Bagan Luar, Butterworth dikompaun RM10,000 semalam.

BUTTERWORTH – Lima lelaki termasuk pemilik sebuah gimnasium dikenakan kompaun berjumlah RM18,000 secara keseluruhan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dalam satu serbuan di Jalan Bagan Luar di sini semalam.

Operasi perniagaan bukan dalam perkhidmatan perlu itu terbongkar selepas sepasukan polis melakukan Ops pematuhan SOP di kawasan berkenan pada jam 5.40 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat lima pelanggan termasuk seorang remaja bawah umur  sedang melakukan senaman di dalam gimnasium yang terletak di tingkat tiga bangunan itu.

Katanya, pemilik gimnasium berusia 58 tahun itu memberi alasan dia membuka premis tersebut atas permintaan pelanggannya.

“Susulan itu, pihak polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik gimnasium tersebut kerana didapati melanggar SOP dengan membuka perniagaan bukan perkhidmatan perlu.

Pelanggan gymnasium turut dikompaun RM2,000 setiap seorang.

“Bagi empat pelanggan berusia 36 hingga 52 tahun itu pula, masing-masing dikompaun RM2,000.

“Manakala tiada kompaun dikeluarkan ke atas remaja berusia 16 tahun itu, sebaliknya kita beri amaran dan nasihat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy mengingatkan orang awam termasuk pemilik peniagaan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar SOP tersebut tanpa sebarang kompromi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette