KUALA LUMPUR – Negara bakan terus berhadapan dengan cabaran untuk menghentikan kebergantungan terhadap pekerja asing sekiranya pendapatan rakyat tidak bertambah.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, tahap kesediaan negara untuk melaksanakannya bergantung kepada taraf hidup rakyat yang akan berubah sekiranya pendapatan meningkat.
“Kalau pendapatan rakyat tidak bertambah kita akan berhadapan kesukaran untuk mengatasi kebergantungan dengan pekerja asing.
“Adakah kita bersedia untuk hentikan kebergantungan pekerja asing? Contohnya upah untuk tebas rumput di rumah, ada yang masih mengharapkan pekerja asing lakukannya. Adakah kita bersedia untuk upah profesional di setiap kerja seperti di negara-negara maju lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sekretariat EAC berkaitan Penyelarasan Terhadap Landskap Ekonomi Baharu yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Terdahulu Noor Azlan ketika membentangkan hasil kajian yang dilakukan Seketeriat EAC berkata, konsep pendigitalan kepada perniagaan yang sangat diutamakan, tidak kira dalam skala kecil mahupun besar.
Katanya, pendigitalan merupakan kunci kepada landskap ekonomi baharu khususnya bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Jelasnya, tidak boleh dinafikan industri perniagaan khususnya PKS adalah yang paling terjejas akibat Covid-19.
“Perusahaan kecil dan sederhana sangat terjejas pada masa ini kerana mereka merupakan orang yang berniaga, apatah lagi apabila yang mempunyai tanggungan pekerja,” katanya.
Justeru katanya, pendigitalan merupakan konsep yang amat perlu diketengahkan dalam semua bidang pada masa ini bukan kerana perubahan teknologi semasa, tetapi kerana keperluan pandemik.
Menerusi cara ini, tambah beliau, Malaysia akan dapat menjalankan transaksi perniagaan dan pelaburan yang tidak lagi melibatkan tunai semata-mata. – MalaysiaGazette