Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 160 kilang dan premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) diarahkan tutup serta-merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu berikutan operasi Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas 496 kilang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bermula 1 Jun sehingga semalam.

Katanya, sebanyak 24,928 premis perniagaan dan kilang sudah diperiksa sejak 14 Januari 2021 yang membabitkan 22,819 premis perniagaan dan 2,019 kilang.

“Sehingga kini, sebanyak 160 kilang dan 17 premis bukan kilang diarahkan supaya tutup,” katanya menerusi kenyataan mengenai situasi terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua lagi lokaliti di Sabah bermula 20 Jun hingga 3 Julai ini.

Tambah beliau, PKPD itu akan dilaksanakan di PPRT Kampung Pasir Putih, Putatan di Grace Villa Condo, Sembulan dekat Kota Kinabalu.

Bagi negeri Kelantan pula, PKPD itu akan dikenakan di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh.

Prosedur operasi standard (SOP) PKPD terbabit adalah sama seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette