Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan perhalusi tawaran yang dibuat oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu badan induk itu meningkatkan persembahan skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan.

”Pertama, saya menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung skuad kebangsaan, Harimau Malaya, tempoh hari.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” katanya yang mengulas tawaran oleh bekas Presiden FAM itu.

Tunku Ismail menerusi kenyataan ringkas menerusi Insta Story miliknya berkata: “Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan. Saya akan sediakan mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak boleh menjanjikan kejayaan segera kepada anda. Tetapi saya dapat memberi jaminan mengenai peningkatan (prestasi pasukan),” kata Tunku Ismail.

Dalam kenyataan itu, Hamidin turut mengulas mengai isu pemain naturalisasi.

Beliau telah mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini.

Tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh post-mortem daripada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan, mengenai persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta persediaan awal pasukan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari 2022 untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan datang.

Menurutnya, semua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan ini kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan. – MalaysiaGazette
Perkara itu diluahkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi kenyataan ringkas pada ruangan Insta Story di laman akaun Instagram miliknya, hari ini.

“Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan. Saya akan sediakan mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak boleh menjanjikan kejayaan segera kepada anda. Tetapi saya dapat memberi jaminan mengenai peningkatan (prestasi pasukan),” katanya. – MalaysiaGazette