Zafuan Azeman. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Penyerang baharu Kelantan United FC, Zafuan Azeman menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh gol pada musim ini.

Beliau mengakui belum berpuas hati dengan prestasi dirinya ketika bersama Penang FC, pada awal musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu bergelut untuk mendapat minit permainan yang lebih lama ketika berada di bawah bimbingan Thomas Trucha apabila hanya sempat membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian.

Zafuan yang pernah beraksi bersama kelab Divisyen Tiga Thailand, Anthong FC ini bagaimanapun menyifatkan ia satu langkah yang tepat untuk berhijrah ke pasukan yang lebih memerlukan khidmatnya dan tidak kisah untuk beraksi di pentas Liga Premier.

Jelasnya, minit permainan ketika ini cukup penting apatah lagi buat pemain seusianya yang pasti mengidamkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam tempoh beberapa tahun lagi sekiranya mampu membuktikan sesuatu di Liga Malaysia.

“Semua pemain mesti rasa nak selalu bermain tetapi kita tahu kebanyakan penyerang dalam mana-mana pasukan adalah pemain import, dan persaingan pastinya sengit.

“Bagi saya, umur saya sekarang 22 tahun bukan lagi muda dan perlu segera mencari peluang untuk beraksi supaya apabila sudah berumur 24 atau 25 tahun, prestasi semakin stabil dan dari situ, saya sasar untuk bersama skuad kebangsaan.

“Dalam baki saingan musim ini, saya nak bina kembali tahap keyakinan saya dan macam-macam mana pun kena cari peluang untuk cuba meraih sekurang-kurangnya enam atau tujuh gol,” jelasnya.

Kehadirannya dijangka akan dapat memperkasakan lagi bahagian serangan pasukan bersama-sama Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dan juga penyerang import, Gassama Alfyssainey.

Setakat ini, Zafuan berpuas hati dengan kerjasama rakan-rakan sepasukan dan kini dalam fasa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang dilakukan dalam Camp Based Training yang telah bermula sejak 7 Jun lalu.

“Saya gembira apabila berada di sini, dan saya dapat rasakan tahap kecergasan saya semakin memuaskan ketika berlatih bersama mereka.

“Rakan sepasukan yang lain juga semuanya memberi kerjasama yang cukup baik dan sekarang banyak melakukan keserasian bersama penyerang lain seperti Gassama.

“Saya harap kehadiran saya dapat membantu Kelantan United untuk cuba layak ke Liga Super pada musim hadapan,” tambahnya.

Skuad kendalian Akira Higashiyama ketika ini menduduki tangga kelima Liga Premier 2021 selepas mengumpul 16 mata secara keseluruhan setakat ini.

Saingan Liga Premier akan kembali membuka tirai pada 3 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast