Anak, Aishah Suria riang bermain bersama abangnya dalam tempat tinggal yang serba kekurangan di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – ‘Rumah’ usang sempit berdindingkan papan lapis dan tanpa bumbung menjadi tempat berteduh tujuh beranak tinggal bersesak di bawah jambatan Loke Yew dekat sini sejak November 2019.

Kehidupan Suria Mohamad, 59 bersama isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, dan lima anaknya amat daif sejak berpindah dan tinggal di bawah jambatan itu kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih sempurna.

Mujur ada tempat di situ untuk Suria dan keluarganya menumpang.

Suria yang bekerja sebagai penjual buah sebelum ini tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Anak-anak Suria Mohamad tetap riang bersama walaupun duduk dalam keadaan bersesak dan serba kekurangan di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

Pesara tentera ini berkata, dia dan keluarganya bernasib baik kerana mendapat simpati pemilik gerai di kawasan itu yang memberi kebenaran menggunakan air dan eletrik milik mereka dengan bayaran seikhlas hati.

“Kami masak menggunakan dapur kayu kerana tidak mampu membeli tong gas. Ketika ini, saya tidak meniaga dan tiada pendapatan harian kerana gerai buah saya ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Hari Raya Aidilfitri lalu kami hanya sambut di sini namun ada pengguna jalan raya yang lalu di sini datang memberi baju untuk anak-anak termasuk duit raya,” katanya sebak ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) di sini hari ini.

Keluarga malang itu turut menerima sumbangan barangan dapur seperti beras, gula dan minyak masak menerusi program MG Prihatin 2021

Suria Mohamad menyediakan makanan dengan hanya menggunakan dapur kayu di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

Suria dan Azariyah berkahwin pada tahun 2012, yang mana ia adalah perkahwinan kedua buat mereka dan dikurniakan empat anak iaitu Saidatina Nurain, 9, Shahwal Wafi, 7, Aishah, 5, dan Mawar, 3.

Seorang lagi anak yang tinggal bersama adalah hasil perkahwinan pertama Azariyah.

Mengulas lanjut, Suria mendakwa dia pernah memohon bantuan dengan beberapa agensi berkaitan namun jawapan yang diterima mengecewakan.

Beliau memberitahu, pihak Baituimal telah berkunjung ke rumahnya itu baru-baru ini.

“Saya  mencari tempat untuk berteduh cuma saya tidak mampu hendak sediakan deposit kerana tiada wang dan anak-anak pula ramai. Saya juga ada minta sumbangan untuk anak-anak sekolah tapi tidak dapat.

“Dua anak saya ada yang sakit termasuk bongsu yang pernah tinggal di hospital dua tahun. Surat beranak dia pun saya tidak sempat buat lagi kerana kos bayaran mahal kerana lambat buat,” katanya yang mengidap asthma dan kencing manis.

Temubual bersama Suria Mohamad yang menginap bersama isteri dan anaknya sejak November 2019 di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

Suria memberitahu, ketika dalam perkhidmatan tentera, dia pernah menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga ke Bosnia.

Jelasnya, dia mendapat pencen tentera sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ah long sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk meniaga buah-buahan sebelum ini.

Menurutnya, ramai yang datang melawat telah memarahinya kerana sanggup tinggal di bawah jambatan bersama keluarga namun dia tiada pilihan kerana kesempitan hidup.

“Saya memang kecewa namun apa boleh buat. Untuk elak nyamuk,  saya bakar bekas telur ketika tidur malam di sini.

Isteri, Azariyah Abd Aziz menidurkan anak bongsunya, Mawar Suria di tempat tinggalnya di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

“Bekalan makanan pernah terputus dan kami makan apa yang ada sahaja. Namun saya akan berhutang dulu untuk beri anak-anak makan.

“Memang saya sedih dan tidak sanggup tengok anak-anak tinggal di sini dan saya pun tidak mahu jadi macam ini.

“Saya hendak kata apa dan saya terima takdir hidup ini. Saya pernah berkhidmat dengan PBB hingga luar negara dan kini tidak pernah dipandang lagi,” katanya sambil memberitahu isterinya juga mengidap penyakit darah tinggi.

Sementara itu mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Suria dan keluarga, boleh menghubungi talian +60 17-280 6250.

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada Bank Islam: 14-014-02231222-2. (Suria Mohamad Hassan) – MalaysiaGazette

Suria Mohamad menunjukkan kad veteran ATM miliknya di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast