Superintendan Kamarul Rizal Jenal

BALIK PULAU –  Seorang peniaga kosmetik kerugian RM74,000 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam.

Wanita berusia 47 tahun itu dikatakan terjerat dalam penipuan berkenaan selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa dari Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Barat, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, selepas hampir sebulan berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta secara maya suspek mendakwa mempunyai masalah kewangan dalam projek minyak dan gas yang diurusnya di Itali.

Jelas beliau, terpedaya dengan ayat-ayat sedih suspek, mangsa bersetuju untuk menghulurkan bantuan kepada lelaki itu dengan menawarkan pinjaman wang.

“Mangsa memasukkan wang berjumlah RM74,000 secara berperingkat sebanyak tujuh kali ke dalam dua akaun bank berbeza.

“Susulan itu, suspek meminta mangsa memasukkan wang lagi namun dia mendakwa sudah kehabisan wang sebelum merujuk kepada rakannya.

“Rakan mangsa membuat semakan di Facebook sebelum mendapati beberapa alasan turut menggunakan gambar suspek dan baru dia sedar menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Kamarul, susulan itu mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru semalam.

“Semakan lanjut mendapati nombor akaun yang digunakan suspek itu merupakan kaldai akaun selain bersangkut laporan membabitkan kes penipuan di Melaka dan Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan ayat manis individu yang dikenali melalui media sosial.

“Selain itu, orang ramai juga boleh membuat semakan nombor akaun yang diberikan menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan,” kata beliau. – MalaysiaGazette