Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat tinjauannya di PPV PIKAW di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di Taman Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU –  Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) kedua  akan mula beroperasi 28 Jun ini.

Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, PPV PIKAS kedua di Johor itu akan dibuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC),  di Taman Mount Austin.

“Tinjauan saya di PPV PIKAS AICC mendapati ia bukan sahaja memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan malah sudah bersedia dibuka kepada pekerja industri dan orang awam.

“PPV PIKAS AICC mempunyai 60 bilik suntikan vaksin selain beberapa bilik sakit mampung menampung kapasiti antara 4,000 hingga 4,500 penerima vaksin sehari,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) hari ini.

Bagaimanapun jelas Mohamed Azmin, buat permulaan apabila dibuka nanti, PPV itu berupaya menyuntik kira-kira 1,500 penerima sehari sebelum ia ditingkatkan kepada 4,500 orang.

Pelaksanaan PPV PIKAS memfokuskan pemberian vaksin kepada pekerja kilang dan membantu menurunkan kes harian Covid-19 di negara ini.

Katanya, kementeriannya memfokuskan kepada pembukaan PPV PIKAS di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak dahulu sebelum ia dibuka di negeri lain.

“Ini kerana empat negeri ini mempunyai sektor pembuatan dan perkilangan yang besar dan kita mahu lebih usaha digerakkan dalam mengawal penularan Covid-19 di negeri berkenaan yang mempunyai jumlah kes harian tinggi.

“Inisiatif PIKAS ini adalah untuk perlindungan dan jaminan kesihatan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan negara yang menjadi nadi penting sektor ekonomi.

“Jika mereka dapat perlindungan vaksin dengan segera maka kes penularan Covid-19 negara dapat dikekang dan diturunkan,” katanya. -MalaysiaGazette