Program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam senada dengan hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan adalah menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pada masa ini, terdapat 49 buah kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat pembungkus minyak masak bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak 1 juta tan setahun.

Minyak masak di pasaran tempatan dijual dalam pelbagai saiz bungkusan dari paket plastik 1kg hingga minyak masak dalam botol bersaiz 1kg hingga 5kg.

Manakala saiz bungkusan 17kg dalam tin digunakan oleh industri kecil dan sederhana.

Menurutnya, kebanyakan minyak masak daripada bungkusan plastik 1kg dikeluarkan oleh syarikat pembungkus kerana kos operasi yang rendah dan minyak ini biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17kg (yang mengandungi 17 paket 1kg minyak masak).

Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Jelas beliau, harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) yang mana harga runcitnya tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 yang ditetapkan.

”Subsidi diberikan kepada minyak masak plastik 1kg kepada pengguna pada harga RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) di
pasaran telah meningkat.

”Bekalan minyak masak bersubsidi bertujuan mengurangkan beban hidup pengguna untuk mendapatkan minyak masak dengan harga yang berpatutan,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Parveez menambah, subsidi bersasar ini bagi pengguna yang membeli minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg untuk kegunaan sendiri khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.

Kualiti minyak sawit bersubsidi dalam bungkusan plastik setanding
dengan dalam botol.

Sementara minyak masak dalam botol yang dipasarkan dengan pelbagai jenama memberi pilihan kepada pengguna golongan pertengahan dan
atasan yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi berbanding minyak bungkusan plastik.

Menurutnya, pengguna dan persatuan pengguna menganggap minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg mempunyai kualiti yang lebih rendah berbanding minyak masak dalam botol kerana harganya yang lebih murah.

“Tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah.

”Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg disubsidi dan dikawal oleh Kerajaan. Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati bahawa kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Ia meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan
tokoferol),” kata Dr. Ahmad Parveez.

Tambah beliau, pengeluaran MSM diproses kepada minyak masak olein untuk kegunaan pasaran tempatan dan eksport.

Pada tahun 2020, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah negara.

Harga minyak sawit mentah telah melonjak tinggi sejak hujung tahun 2020 dan memberi tekanan kepada harga minyak masak di pasaran tempatan.

Menurut beliau, harga purata MSM telah meningkat dari RM2,979.50 satu tan pada bulan Oktober 2020 kepada RM4,572.00 satu tan pada bulan Mei 2021.

Harga minyak masak berasaskan sawit adalah berpandukan kepada harga olein sawit yang juga telah meningkat ekoran daripada kenaikan harga MSM.

Jelasnya, harga minyak masak yang dijual dalam botol 1kg, 2kg, 3kg, dan 5kg tidak disubsidi dan harganya ditentukan oleh harga minyak sawit mentah di pasaran
global.

”Pengguna bebas membuat pilihan membeli minyak masak sawit di pasaran sama ada bersubsidi dalam bungkusan plastik 1kg atau minyak masak
tanpa subsidi dalam botol,” katanya.

Sementara itu, minyak masak terpakai biasanya diproses semula untuk tujuan bukan makanan terutamanya untuk dijadikan biodiesel dan untuk dieksport.
Eksport minyak masak terpakai berjumlah 195,559 tan bernilai RM606.88 juta pada 2020 berbanding 123,519 tan bernilai RM308.49 juta pada 2019.

Dari Januari – Mei tahun ini, 40,522 tan minyak masak terpakai bernilai RM153.01 juta dieksport, katanya.