Temubual bersama Suria Mohamad yang menginap bersama isteri dan anaknya sejak November 2019 di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memantau nasib pesara tentera bersama enam ahli keluarganya yang terpaksa tinggal di bawah jambatan Loke Yew sehingga mereka mendapat kediaman.

Menerusi satu hantaran ringkas, ATM memaklumkan, keluarga itu telahpun disantuni oleh JHEV ATM dan Baitulmal Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Satu kenyataan berhubung perkara berkenaan juga telah dikeluarkan, katanya.

“Kami akan pantau veteran ini sehingga beliau memperolehi rumah yang sesuai untuk beliau diami. Veteran ini juga berpencen dan segala bantuan kerajaan untuk veteran seperti BKK hari raya, BKK bonus bajet 2020 didapati beliau dapat.

“Selaku Jabatan yang menguruskan kebajikan veteran, kami akan membantu sewajarnya,” demikian menurut kenyataan ringkas itu.

Artikel berkaitan;

Semalam, MalaysiaGazette menyiarkan kisah sedih kehidupan pesara tentera terbabit yang terpaksa tinggal di bawah jambatan tersebut sejak November 2019.

Suria Mohamad, 59, bersama isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, dan lima anaknya hidup dalam keadaan amat daif sejak selepas tidak mampu menyewa rumah yang lebih sempurna.

Suria yang bekerja sebagai penjual buah sebelum ini tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Bagaimanapun, gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Suria merupakan pesara yang pernah menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga ke Bosnia.

Dia mendapat pencen tentera sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ah long sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk meniaga buah-buahan sebelum ini.

Keluarga malang itu turut menerim sumbangan barangan dapur seperti beras, gula dan minyak masak menerusi program MG Prihatin 2021.

– MalaysiaGazette