ACP Mohd Zaid Hassan decayed body Jalan Broga drain
Mohd Zaid Hassan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pemuda yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pornografi di Internet dan mempromosi pelbagai aktiviti seksual kanak-kanak melalui media sosial di Semenyih, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kira-kira pukul 6 petang sepasukan anggota dari Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah melakukan serbuan dan menahan pemuda tempatan berusia 19 tahun terbabit.

“Dalam serbuan yang dijalankan, pihak polis telah merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mengandungi gambar dan video bagi tujuan mempromosi aktiviti tidak bermoral itu kepada umum dan pihak tertentu.

“Kebanyakan aktiviti video rakaman membabitkan kanak-kanak itu adalah di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Khamis sehingga esok bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette