Pesakit-pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Brazil. foto Agensi

SAO PAULO – Angka kematian akibat Covid-19 di Brazil melepasi 500,000 pada hari Sabtu selepas merekodkan  2,301 kematian baharu dalam tempoh 24 jam.

Negara ini mencatat tambahan 82,288 kes koronavirus pada hari sama, sekali gus menyaksikan jumlah terkumpul kes meningkat hampir 17,9 juta kes sejak wabak itu bermula, menurut data Kementerian Kesihatan.

Angka jangkitan itu melonjak ketika pakar-pakar kesihatan memberi amaran bahawa wabak ini semakin buruk disebabkan program vaksinasi yang tertunda dan penolakan langkah-langkah melaksanakan penjarakan sosial oleh kerajaan.

Hanya 11 peratus penduduk Brazil yang diberi vaksinasi sepenuhnya dan ahli epidemiologi memberi amarandengan musim sejuk tiba di hemisfera selatan dan varian baharu koronavirus yang menular, kematian akan terus meningkat walaupun imunisasi bertambah.

Brazil telah mencatatkan 498,499 kematian daripada 17,801.462 kes Covid-19 yang disahkan, menurut data Kementerian Kesihatan pada hari Jumaat.

Angka itu adalah jumlah kematian rasmi terburuk di luar Amerika Syarikat.

Sepanjang seminggu lalu, Brazil rata-rata merekodkan 2,000 kes kematian setiap hari.

Covid-19 terus menghancurkan negara-negara di rantau ini dengan Pan American Health Organisation (PAHO) melaporkan 1.1 juta kes baharu dan 31,000 kematian di Amerika minggu lalu.

PAHO mencatatkan kenaikan kes koronavirus itu di enam negeri iaitu di Mexico, Belize, Guatemala, Panama dan beberapa tempat di Caribbean.

Malah PAHO memberi amaran keadaan Covid-19 Colombia berada pada titik terburuk, dengan katil unit rawatan rapi penuh di bandar-bandar utama.

Pakar- pakar juga melihat jumlah korban akibat Covid-19 di Brazil, yang sudah menjadi tertinggi di Amerika Latin, meningkat jauh lebih tinggi. – MalaysiaGazette