The Dewan Rakyat sitting at the Parliament in Kuala Lumpur Dewan Rakyat sit sitting
Persidangan Dewan Negara.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Senator Pakatan Harapan Plus (PH Plus) menyokong kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mempunyai kuasa autoriti semasa darurat untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang.

Kata 19 Ahli Dewan Negara daripada gabungan berkenaan, kenyataan itu seiring dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang telah memberi kuasa kepada YDPA untuk memanggil, melanjutkan dan membubarkan Parlimen.

Mereka berpendirian, sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat.

“Seiring pandangan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, kami juga berpendapat bahawa kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung,” kata mereka menerusi kenyataan.

Tambah mereka, seiring dengan titah YDPA, adalah penting memastikan kestabilan politik menerusi sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat diperolehi untuk memerangi wabak Covid-19 secara berkesan.

Malah kata mereka, kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) yang turut menyeru agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri bersidang segera adalah isyarat jelas akan kepentingan negara ini untuk terus memelihara prinsip demokrasi berparlimen.

“Kami menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu atas kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan berhubung keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga masalah ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan.

“Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh,” tambah kenyataan itu.

Semalam, Rais dilaporkan sebagai berkata YDPA mempunyai kuasa autoriti untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang, berdasarkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Seksyen 14(1)(b) yang memberi kuasa kepada YDPA untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast