Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Gambir,di Dewan Muafakat Bukit Gambir Pagoh, Johror hari ini.

PAGOH – Perdana Menteri mengumumkan tambahan peruntukan RM18 juta sebagai bayaran saguhati kepada petugas sukarelawan kesihatan di negara ini tidak lama lagi dan menjadikan jumlah keseluruhan RM327 juta.

Untuk itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Kewangan mengkaji semula kadar bayaran berkenaan.

Bukan sahaja kadar bayaran akan ditambah malah jumlah penerima juga akan diperluaskan, katanya.

“Selain itu bayaran saguhati juga akan diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada PPV (Pusat Pemberian Vaksin).

“Yang PPV kita bagi yang bukan pun kita bagi seperti di pusat-pusat kuarantin, mereka juga layak dapat dan Pusat Rawatan Risiko Rendah dipanggil PKRC jumlah sukarelawan 19,000,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Gambir,di Dewan Muafakat Bukit Gambir Pagoh di sini hari ini.

Pembayaran itu akan dibuat kepada sukarelawan yang bertugas selama 12 jam sehari.

Katanya, insentif itu sebagai langkah kerajaan menghargai semua petugas sukarelawan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin memberitahu, selaras usaha kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin di seluruh negara, kerajaan juga memutuskan PPV akan beroperasi tujuh hari seminggu.

“Jika sebelum ini PPV dibuka pada hari bekerja, kali ini kita merancang untuk semua PPV di negara ini beroperasi penuh.

“Untuk memberi pelan pemulihan negara nasional kita telah pun memutuskan supaya pusat vaksin sebegini atau PPV begini beroperasi tujuh hari seminggu.

“Dia ada sesetengah tempat dibuka pada hari bekerja sahaja tetapi kita perlu buka sepanjang masa supaya kemudahan vaksinasi dapat diteruskan,” katanya lagi.

Terdahulu Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin PPV Dewan Serbaguna Pagoh.

Beliau yang tiba pukul 3 petang tadi diiringi isterinya,  Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

PPV Dewan Serbaguna Pagoh diluluskan sebagai PPV kedua daerah Muar selepas PPV Dewan Maharani yang berupaya memberi suntikan kepada 700 penerima sehari.

Dalam rangka lawatannya, beliau berkata, kedua-dua PPV yang dilawati berada dalam keadan baik dan penerimaan masyarakat yang tinggi terhadap pemberian vaksin.

“Malahan saya dapati bahawa mereka mempunyai kapasiti yang lebih besar yang berbangkit ialah soal bekalan vaksin yang mungkin diperlukan untuk kita tambah.

“Saya kira masuk Julai dan Ogos ini bekalan vaksin yang telah diumumkan oleh menteri bertanggungjawab akan meningkat lebih kurang 16 juta dos yang akan tiba dan memungkinkan kita menambah lagi di tiap PPV jumlah vaksin supaya lebih ramai yang penting untuk mendapatkan lebih ramai mendaftar disini telah dimaklumkan sudah tinggi pendaftarannya.

“Apa yang perlu soal nak menyegerakannya saya telah jelaskan peringkat nasional inilah tujuan kita untuk naikkan 400,000 sehari dan sekarang hampir 250,000 sehari jadi ada lagi ruang untuk kita tingkatkan,” katanya.

Beliau juga telah mengarahkan menteri berwajib supaya meminta pembekal-pembekal dapat menyegerakan pemberian vaksin.

“Kita harap Malaysia dapat bekalan lebih tinggi dan disebabkan itu kita telah membuat persiapan PPV mega macam di Stadium Nasional buka banyak tempat di Kuala Lumpur di Selangor di Johor Bahru dan tempat PPV biasa seperti ini.

“Kita juga telah meluaskan di luar bandar menerusi unit mobile dan di sini ada bas dibawa masuk ke kampung-kampung dan kaeasan orang asli dan kawasan pedalaman,” katanya.

Kerajaan jelas Muhyiddin akan memastikan pemberian vaksin bukan sahaja diterima di kawasan bandar malahan pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman termasuk kawasan penempatan Orang Asli.-MalaysiaGazette