EMCO Enhanced Movement Control Order Selangor KL Kuala Lumpur Ismail Sabri Yaakob essential services
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, Majlis Tertinggi parti itu belum membuat keputusan mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya Kerajaan Pakatan Nasional (PN) gagal membuka semula Parlimen dalam tempoh 14 hari akan datang.

Beliau berkata, ini kerana cadangan tersebut diusulkan oleh Biro Politik parti itu manakala keputusan parti adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi yang sehingga ini belum bermesyuarat membincangkan isu tersebut.

Menurut beliau, justeru tidak timbul persoalan mengenai tindakan yang akan diambil UMNO sekiranya kerajaan masih tidak membuka Parlimen selepas tempoh 14 hari tersebut.

“Itu pandangan Biro Politik UMNO dan bukan Majlis Tertinggi. Dari segi dasar, yang boleh memutuskan dasar adalah Majlis Tertinggi.

“Biro Politik hanya mencadangkan tetapi Majlis Tertinggi yang akan memutuskan.

“Tapi soalnya, kalau tidak mengadakan sidang (dalam tempoh itu), akan jadi? Apa tindakan? (Usul) Tidak kita bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat keluarga pesara tentera, Suria Mohamad Hassan di Flat Sri Johor di sini hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada anak-anak pesara tentera, Suria Mohamad Hassan semasa membuat lawatan kebajikan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila parti mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, bermula semalam.

Ahmad Zahid berkata, ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang tersebut diadakan secepat mungkin.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, titah YDPA bahawa Parlimen perlu dibuka secepat mungkin telah ditafsir dengan pelbagai interpretasi.

Jelas beliau, Biro Politik UMNO pula mentafsirkan tempoh secepat mungkin itu adalah 14 hari.

Namun tegas beliau, UMNO menjunjung titah YDPA dan tidak ada percanggahan bahawa parti bersetuju agar Parlimen dibuka.

Sebelum ini, UMNO dilaporkan mengadakan mesyuarat Biro Politik parti itu pada malam Ahad lalu. – MalaysiaGazette

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu dengan anak pesara tentera, Mawar Suria (kiri) semasa membuat lawatan kebajikan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.