Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada anak-anak pesara tentera, Suria Mohamad Hassan semasa membuat lawatan kebajikan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Keluarga pesara tentera yang tinggal di bawah jambatan Loke Yew hampir dua tahun sebelum dipindahkan ke rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras pada Sabtu lalu akan berpindah ke rumah tetap akhir minggu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suria Mohamad Hassan, 59, dan Azariyah Abd Aziz, 43, bersama lima anak mereka akan ditempatkan di rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bandar Tun Razak.

Jelas beliau, pemberian rumah itu berkonsepkan sewa beli di mana sewa bulanan akan diuruskan oleh Baitulmal.

“Saya baru menelefon Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) dan DBKL akan beri flat secara kekal dan mereka akan berpindah pada akhir minggu ini.

“BTR dipilih kerana lokasi itu dekat untuk Suria terus berniaga di bawah jambatan dan beliau boleh menaik taraf gerai jualan kerana masalah utama keluarga ini adalah rumah.

“Memandangkan rumah ini adalah sewa beli, Baitulmal akan membayar sewa dan isu rumah buat keluarga ini sudah selesai,” katanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas membuat lawatan kebajikan tempat tinggal pesara tentera, Suria Mohamad Hassan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat keluarga Suria di rumah transit di Flat Sri Johor di sini hari ini.

Jumaat lalu, MalaysiaGazette mendedahkan kehidupan Suria bersama keluarga di bawah jambatan sejak November 2019.

Bekas pesara tentera itu yang bekerja sebagai penjual buah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, beliau turut menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun bagi memohon bantuan bulanan untuk anak-anak Suria.

Jelas beliau, Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera (JHET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersetuju memberi bantuan sara hidup secara bulanan berjumlah RM300 dalam masa terdekat kepada Suria yang pernah menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga ke Bosnia.

Menurutnya, walaupun Suria mendapat pencen tentera sebanyak RM1,100, jumlah itu tidak mencukup untuk menanggung keluarganya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat Dewan Serbaguna yang didiami pesara tentera, Suria Mohamad Hassan semasa membuat lawatan kebajikan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.

“JHEV ATM Cawangan Negeri Selangor/Wilayah Persekutuan juga telah melakukan lawatan ke atas veteran pada 11, 13 dan 20 Jun lalu.

“Untuk makluman, veteran merupakan penerima pencen ATM dan ex gratia secara bulanan terkini berjumlah RM1,108.61.

“Selain itu, sejak 2019 hingga Mei 2021, beliau telah menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada Veteran ATM yang berjumlah RM1,250 iaitu bantuan secara one off Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 dan elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) berjumlah RM500 serta bantuan khas kerajaan (BKK) RM250.00.

“JHEV juga akan menawarkan lain-lain bantuan dalam Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan JHEV ATM yang layak untuk anak-anak Veteran seperti Skim Bantuan Persekolahan berdasarkan kelayakan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu dengan anak pesara tentera, Mawar Suria (kiri) semasa membuat lawatan kebajikan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2021.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Ini baru pesara tentera dengan tanggungan lima anak-anak masih kecil. Bayangkan pesara-pesara polis konstable yang ada beberapa anak-anak di sekolah menengah. Aku tahulah sebab aku anak pesara polis konstable yang empat anak-anaknya dahulu di sekolah menengah. Setiap bulan kami dibelenggui dengan hanya mampu bayar separuh hutang-piutang keperluan dapur daripada budi-bicara kedai runcit berhampiran supaya boleh terus berhutang beli daripadanya.

Comments are closed.