Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’ yang giat mencari pelanggan ketika rakyat di negara ini dihimpit kesusahan kesan penularan wabak Covid-19.

Pakar Sosial, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, golongan itu akan sentiasa menawarkan pinjaman mudah dan segera sambil menyasarkan golongan yang terkesan untuk dijadikan mangsa.

Katanya, umum mengetahui apabila seseorang dibelenggu hutang Ah Long, sukar untuk keluar daripada cengkaman golongan itu.

“Tawaran atau iklan pakej pinjaman dengan bayaran semula fleksibel memang sangat menarik, namun perlu diingat sekali terjebak, Ah Long tidak akan melepaskan peminjam dengan mudah.

“Bunga yang sangat tinggi dikenakan Ah Long kepada peminjam, namun tetap ada yang meminjam kerana desakan hidup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu sindiket Ah Long kini semakin agresif mencari pelanggan yang dilaporkan media baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia menyarankan masyarakat mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat termasuk yang terbaharu Program bantuan PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA Plus).

Selain itu, katanya, pusat pungutan zakat (PPZ) juga boleh dirujuk bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika inilah PPZ perlu mengurangkan birokasi supaya dapat membantu masyarakat kita yang dilanda kesusahan.

“Inilah masa paling sesuai untuk PPZ menyalurkan bantuan menerusi dana zakat yang terkumpul kerana itulah antara fungsi zakat,” katanya. – MalaysiaGazette