Kapal pemusnah Defender

MOSCOW – Rusia menghalang sebuah kapal pemusnah milik Tentera Laut British daripada mencerobohi perairannya, kata Kementerian Pertahanan Rusia.

Menurut kementerian itu, kapal Defender memasuki perairan Rusia berhampiran Tanjung Fiolent di Laut Hitam dan ia tidak memberi respon kepada amaran yang diberikan oleh pengawal pantai Rusia.

“Pada jam 11.52, 23 Jun kapal pemusnah Defender Tentera Laut British beroperasi di bahagian barat daya Laut Hitam, melintasi sempadan negara Rusia dan memasuki perairan wilayah Tanjung Fiolent sejauh tiga kilometer,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, kapal pengawal pantai Rusia kemudian melepaskan tembakan amaran kepada Defender dan sebuah pesawat pejuang Su-24 memebri amaran melepaskan bom selepas kapal pemusnah itu berpatah balik.

“Pada jam 12.06 dan 12.08, sebuah kapal peronda sempadan melepas tembakan amaran.

“Pada 12.19, pesawat Su-24 melakukan amaran pengeboman terhadap tindakan kapal pemusnah Defender.

“Tindakan bersama Angkatan Laut Hitam dan perkhidmatan Sempadan FSB (Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan) Rusia, kapal pemusnah Defender meninggalkan sempadan perairan Rusia,” katanya. – MalaysiaGazette