Kereta suspek berjaya ditahan polis di laluan bertingkat dalam kejadian di Jalan Tampoi, awal pagi tadi

JOHOR BAHRU – Gara-gara cuba melepaskan diri daripada polis, tiga daripada suspek pecah rumah cedera parah apabila cuba terjun dari laluan bertingkat dalam kejadian di Jalan Tampoi, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.45 pagi tadi, ketiga-tiga suspek, masing-masing berusia 22 hingga 30 tahun mengalami patah tangan, bahu dan pinggang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataannya berkata, polis telah terserempak dengan sebuah kereta Myvi berwarna biru semasa sepasukan anggota polis sedang menjalankan rondaan di Jalan Seri Orkid berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini.

Kereta yang dalam keadaan mencurigakan itu diarahkan berhenti.

Kereta Myvi yang dinaiki empat suspek.

Namun arahan tersebut tidak diendahkan sebaliknya kereta yang dinaiki oleh empat orang itu memecut laju menuju ke arah Jalan Skudai.

”Kereta tersebut  telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berdekatan Angsana Mall Johor Bahru.

”Semasa proses tangkapan, tiga suspek telah bertindak terjun dari ‘flyover’, mengakibatkan kecederaan, antaranya patah tangan, bahu dan pinggang,” katanya.

Keempat-empat suspek yang merupakan penganggur berjaya tahan, selain merampas pelbagai peralatan antaranya sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong serta dua telefon bimbit dipercayai hasil jenayah.

Antara barang-barang yang dirampas oleh polis.

Mereka disyaki telah melakukan pecah rumah di kawasan Jalan Bakti, Mutiara Rini.

Hasil semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Dzulkhairi menambah, tiga suspek yang cedera kini keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. – MalaysiaGazette