Tujuh suspek yang ditahan kerana menyambut hari jadi di sebuah kondominium di Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Enam lelaki dan seorang wanita ditahan ketika mengadakan majlis sambutan hari jadi di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7, Shah Alam awal pagi semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan pada jam 2 pagi itu, polis turut merampas lima paket dadah jenis syabu (4.42 gram), dan tujuh biji pil yaba (0.72 gram).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, ketujuh-tujuh suspek berumur antara 21 hingga 37 tahun itu turut dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM4,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan atas kesalahan menghadiri aktiviti dengan kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan penjarakkan fizikal.

Rampasan dadah dibuat ketika serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium di Shah Alam.

Menurut beliau, hasil ujian saringan kencing mendapati empat lelaki dan satu-satunya suspek perempuan didapati positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine.

“Lima suspek didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah manakala dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan ketujuh-tujuh suspek direman selama empat hari.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- MalaysiaGazette