ACP Mohamad Noor Yusof Ali

PEKAN – Seorang remaja lelaki yang melarikan diri selepas melakukan aksi wheelie semasa “Operasi Samseng Jalanan” petang malam akhirnya menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun itu hadir dan dibuat pengecaman.

Remaja itu turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Mohamad Noor berkata, remaja berkenaan sempat melarikan diri semasa operasi itu dilakukan pada petang semalam.

Operasi Samseng Jalanan dilakukan oleh anggota BSPTD Kuantan di Jalan Bukit Setongkol, petang semalam.

Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan bagi mencegah aktiviti lumba haram dalam kalangan remaja di kawasan Bukit Setongkol.

Dalam operasi itu kira-kira 40 kenderaan diperiksa dan sebanyak 70 saman dikeluarkan.

Manakala empat motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubahsuai struktur kenderaan seperti ekzos.

Mohamad berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam berkaitan aktiviti yang tidak bermoral ini yang sering mengganggu ketenteraman kawasan kejiranan.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa menjaga keselamatan dan mengawasi pegerakan anak-anak terutamanya semasa musim pandemik ini. – MalaysiaGazette