Pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut ebuah pangsapuri di Jalan Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

BUTTERWORTH – Kemurungan akibat perniagaan yang diceburi mengalami kerugian didakwa punca seorang lelaki bertindak terjun dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Jalan Bagan Ajam di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di bahagian bawah pangsapuri pukul 6.50 petang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah pangsapuri tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada pengerusi pangsapuri berkenaan.

Hasil siasatan mendapati mangsa yang tinggal di Taman Bayu, Butterworth itu memasuki kawasan pangsapuri berkenaan melalui pintu utama dengan menaiki motosikal.

“Mangsa dikatakan naik ke tingkat 10 pangsapuri itu sebelum duduk dalam keadaan melunjur kakinya keluar di kaki lima.

Mangsa duduk di tingkat 10 sebelum bertindak terjun.

“Bagaimanapun, dia tiba-tiba bertindak terjun dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil soal siasat ke atas isteri mangsa mendakwa suaminya itu kemurungan  sejak beberapa hari lalu susulan perniagaannya mengalami kerugian.

“Bapa kepada dua cahaya mata itu juga dilaporkan menerima rawatan dari klinik swasta akibat tekanan perasaan dihadapinya empat hari lalu.

Mangsa bertindak terjun dari tingkat 10 pangsapuri berkenaan.

“Tiada elemen jenayah dikenal pasti dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat,” kata Noorzainy.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 13 saat yang menunjukkan lelaki berkenaan terjun dari tingkat 10 sebuah bangunan kediaman. – MalaysiaGazette