KUALA LUMPUR – Pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan perlu dilakukan secara bebas tanpa dipengaruhi kaum, agama atau jantina bagi mendapatkan individu cemerlang dan berbakat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy berkata, sektor perubatan negara memerlukan bakat yang terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Bakat daripada semua bangsa, agama, etnik dan jantina,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba baru-baru ini bahawa kerajaan mengambil maklum mengenai pandangan yang dikemukakan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia supaya penelitian semula dibuat terhadap pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di kementerian itu.

Kata Adham, penelitian itu dicadangkan bagi memastikan graduan perubatan khususnya dalam kalangan Bumiputera dapat berkhidmat secara tetap dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran bidang profesional di negara ini.

Menurut Subramaniam, ia merupakan diskriminasi dan menghina usaha dan sumbangan semua doktor Malaysia yang berkhidmat kepada rakyat, khususnya ketika penularan Covid-19.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya menerajui usaha menyatu padukan rakyat dan bukan menyemai perselisihan dalam kalangan profesional. – MalaysiaGazette