KUALA LUMPUR – Seorang peniaga durian hampir berputih mata apabila rantai emasnya yang bernilai RM3,000 diragut di Sri Petaling, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, suspek yang berusia 21 tahun itu menaiki motorsikal melakukan aktiviti meragut itu ketika mangsa ketika sedang berniaga durian pada jam 1.45 petang.
Kata Anuar, sejurus selepas diragut, mangsa bersama-sama polis yang berada di kawasan berdekatan bertindak mengejar suspek.
“Semasa kejadian, suspek telah hilang kawalan dan terjatuh dari motosikal sebelum ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut penyiasatan.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu di mana motosikal ini pernah direkodkan hilang di daerah Selayang sekitar tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar mendedahkan, polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek termasuklah rantai yang diragut, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan topi keledar berwarna hitam.
Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
“Majistret Kuala Lumpur telah membenarkan suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula 28 Jun hingga 30 Jun ini,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. -MalaysiaGazette