Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri Kewangan memastikan bank-bank mengecualikan faedah bagi tempoh enam bulan moratorium yang diumumkan kerajaan dalam pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) semalam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima maklum balas orang ramai mengenai isu moratorium yang dikenakan caj atau faedah tambahan sepertimana dalam pakej PEMERKASA ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

“Terlebih dahulu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil kira pandangan dan tuntutan rakyat agar moratorium diperluaskan kepada semua kelompok termasuk B40, M40 dan Pengusaha Kecil dan Sederhana.

“Cuma Pemuda UMNO amat berharap untuk pakej PEMULIH kali ini, rakyat tidak dibebani dengan faedah atau caj tambahan atas Moratorium yang ditawarkan sebagaimana pakej PEMERKASA waktu PKP 2.0 yang lalu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Moratorium tanpa syarat selama 6 bulan

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, dalam Pakej PEMERKASA lalu, ternyata ‘indah khabar dari rupa’ apabila rata-rata aduan dan maklum balas rakyat yang berurusan dengan pelbagai bank berhadapan dengan caj dan faedah tambahan yang amat membebankan.

Beliau memberi contoh di Maybank bagi pinjaman kenderaan (sewa beli) versi PEMERKASA (PKP 2.0).

Katanya, bagi setiap moratorium (tangguhan ansuran) untuk tiga bulan akan dikenakan lanjutan pinjaman selama setahun manakala moratorium enam  bulan pula dikenalan lanjutan pinjaman dua tahun.

Ini bermakna peminjam terpaksa membayar balik pinjaman dengan kadar lebih tinggi jika memilih untuk mengambil moratorium kerana bank mengenakan caj/faedah tambahan (compounded interest).

“Maknanya bank tidak akan rugi apa-apa malah mengaut lebih banyak keuntungan.

“Ini dinamakan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Harapnya pakej PEMULIH (PKP 3.0) yang diumumkan kelmarin tidak mengulangi pakej PEMERKASA (PKP 2.0),” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pakej kelapan iaitu PEMULIH bernilai RM150 bilion dengan suntikan Bantuan Tunai Langsung berjumlah RM10 bilion bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun ini. – MalaysiaGazette 

1 Komen

  1. prihatin kononnya?
    ada ke fikir mcm mana nak bantu rakyat btul2??
    mampu ke nak kawal bank2 yg mengenakan interest kepada peminjamnya2??

Comments are closed.