Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju agar pemilihan jawatan di semua peringkat Cawangan, Bahagian dan MKT ditangguhkan selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Keputusan ini adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada 30 Jun 2021 ini genap tiga tahun pemilihan UMNO, maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula.

Namun, mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

”Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menulis kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Surat-surat jawapan telah diperolehi daripada KP KKM bertarikh 10/5/21, KP ROS bertarikh 2/6/21 dan MKN bertarikh 11/6/21.

”Intipati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara online/maya. Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu Cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat) .

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap 4 peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan PKP, PKPB atau PKPD.

Lagipun, alasannya, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara online di semua peringkat.

Oleh itu dibimbangi berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah yang benar.

”Walaupun demikian, mesyuarat Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 korum (25 peratus kehadiran) masih perlu dibuat termasuk secara online/maya.

”Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat 1/4 kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” jelas Ahmad lagi.

Tambahnya, cadangan oleh mesyuarat pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MKT, untuk tarikh mesyuarat cawangan empat peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

Mesyuarat ini boleh diadakan dengan kehadiran hanya 1/4 (25 peratus) daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet.

Manakala di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh prosedur operasi standard (SOP).

Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). – MalaysiaGazette