Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan (dua kanan) menunjukkan dadah syabu pada sidang media kejayaan rampasan dadah dan tangkapan suspek di IPD Serdang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2021.

SERDANG – Taktik menyembunyikan dadah dengan meletakkan dua helai baju T di bahagian atas sebuah kotak sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan kurier tidak berhasil.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun di sebuah syarikat kurier di Bandar Puteri, Puchong kira-kira pukul 4.30 petang pada 23 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Subang Jaya telah melancarkan satu operasi.

Menurut beliau, suspek berjaya ditahan bersama sebuah kotak berisi dadah dipercayai jenis syabu yang dianggarkan seberat 20.4 kilogram dengan nilai RM720,000.

“Dadah tersebut disimpan di dalam kotak di mana bahagian atasnya terdapat dua helai baju T berwarna putih manakala di bawahnya terdapat 20 bungkusan berasingan yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Berdasarkan soal siasat awal, suspek didapati berperanan sebagai penghantar barang atau parcel ke destinasi yang diarahkan dengan menggunakan khidmat kurier sebelum dadah tersebut di pasarkan di kawasan tersebut,” katanya menerusi sidang media di IPD Serdang hari ini.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, bagi kes tersebut, ia melibatkan destinasi di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun menurut beliau, hasil semakan ke atas alamat yang ditulis di atas borang kurier berkenaan mendapati destinasi itu tidak wujud.

“Kita percaya ia juga merupakan taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana apabila sesuatu alamat itu tidak wujud maka pihak kurier terpaksa menghubungi nombor telefon penerima yang tertera dan seterusnya penerima akan mengarahkan barangan dihantar ke satu lokasi yang akan diberitahu semula.

“Kita juga percaya kumpulan pengedar ini aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak lima bulan lalu,” katanya.

Tambah Anbalagan, suspek yang juga seorang penganggur itu dipercayai melakukan kerja-kerja menghantar bungkusan berisi dadah tersebut seminggu sekali dengan upah sekitar RM1,000 bagi sekali penghantaran.

Jelasnya lagi, polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti sumber dadah yang diperoleh.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok dan semakan mendapati suspek  tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Manakala hasil ujian saringan air kencing remaja itu positif dadah jenis ketamin,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette