KUALA LUMPUR – Pemasangan kawat duri di tangga Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) kampung Baru Air Panas Setapak di sini kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bertujuan mengelak penduduk keluar masuk tanpa kebenaran.
Jika berlaku kecemasan, polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas berupaya mengalihkannya dalam tempoh singkat dan tanpa masalah.
Jadi dakwaan pemasangan kawat duri dibimbangi menyukarkan penduduk blok berkenaan semasa kecemasan tidak timbul, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah.
Katanya, kawat duri hanya dipasang di blok C di kawasan berkenaan sahaja kerana lokaliti terlibat dalam PKPD manakala blok lain didapati kurang berisiko.
“Polis bersama ATM telah memasang kawat duri di
laluan tangga blok tersebut bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan.
“Lagi pun pemasangan kawat duri tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri oleh pihak Jabatan Bomba selepas mengambil segala aspek keselamatan dan kecemasan blok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashari bagaimanapun berkata, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk blok bagi tujuan keluar dari blok sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Selain itu, pihak polis dan ATM juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan siap siaga dalam mengadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Justeru, pihaknya dan ATM juga sentiasa berada di laluan tersebut untuk memantau situasi semasa selama 24 jam sehari, katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang menimbulkan kegusaran masyarakat dan ingin menegaskan polis sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette