Hendra Ardi Jumain menunjukkan kemahirannya menendang bola di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) tanpa pekerjaan tetap bukan satu perkara yang mudah untuk dilalui Hendra Ardi Jumain sejak pandemik Covid-19 melanda awal tahun lalu.

Lelaki berusia 44 tahun ini bergantung kepada bisnes dalam talian dan kerjaya pemuzik separuh masa untuk menyara lima anak yang masih bersekolah.

Kehidupannya berdepan waktu sukar kerana hanya isterinya, Suzana Abu Seman, 43, yang bekerja dengan bayaran gaji separuh bulan.

Bagaimanapun Hendra bersyukur kerana kerajaan tidak putus-putus membantu golongan yang kehilangan pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0 ini.

Hendra Ardi Jumain membawa barangan keperluan asas di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

“Bantuan yang saya terima telah mengurangkan beban kewangan dan dapat digunakan untuk membayar bil-bil utiliti yang merupakan keperluan asas kepada kami.

“Selain itu, saya juga membeli peranti mudah alih untuk anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di rumah (PdPR).

“Ia secara tidak langsung mengurangkan beban saya termasuk modal pusingan meniaga dalam talian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Desa Tasik di sini baru-baru ini.

Hendra kehilangan kaki kanan pada tahun 2018 akibat kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai pemandu kren.

Hendra Ardi Jumain. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

Selepas kejadian mengerikan itu, lelaki kelahiran Sabah itu aktif dalam sukan bola sepak kudung hingga terpilih mewakili negara.

Mengulas lanjut, Hendra berharap kerajaan akan menyalurkan lebih bantuan lagi kepada rakyat tanpa mengira lapisan ketika menghadapi waktu yang mencabar ini.

Ini kerana katanya, bantuan kewangan itu mampu mengurangkan beban ekonomi yang terpaksa ditanggung rakyat akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP yang masih berterusan sehingga kini.

“Apa pun, kami sekeluarga sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin kepada rakyat di saat golongan seperti kami memerlukan bantuan dan sumbangan bagi menampung keperluan harian,” katanya.

Bagi seorang warga emas, Pritam Singh, dia berasa lega apabila menerima bantuan demi bantuan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Pritam Singh, 62 membersihkan ruang halaman luar rumahnya sebagai rutin hariannya di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

Dia yang bekerja sebagai penjaga kawasan syarikat pemaju dan pemotong rumput memberitahu, bantuan yang diterima itu telah membantu mengurang kos sara hidup apatah lagi isterinya, Kilwan Kaur berdepan masalah kesihatan.

Ujar beliau, bantuan disediakan kerajaan juga digunakan untuk menampung kos rawatan dan ubat-ubatan Kilwan yang mengidap sakit tulang dan jantung.

“Saya dan keluarga bersyukur mendapat bantuan yang membolehkan kami guna untuk membeli makanan dapur dan bayar bil rawatan.

“Namun bantuan yang diterima sebelum ini perlu digunakan dengan cermat sepenuhnya untuk membeli keperluan asas khususnya barangan dapur,” katanya yang memiliki seorang anak perempuan berusia 19 tahun dan masih belajar di kolej.

Temubual bersama pekerja kontraktor, Pritam Singh, 62 dan isteri, Kilwan Kaur, 60 mengenai rutin hariannya di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

Pritam menambah, seperti rakyat yang lain, dia turut mengharapkan ada lagi bantuan kewangan yang diberikan kerajaan kerana dia membayar bil elektrik tertunggak akibat pendapatan tidak mencukupi.

Namun dia menyedari tidak hanya boleh bergantung dengan bantuan kerajaan dan perlu berusaha mencari pendapatan sampingan.

“Pada masa sama, saya juga ada menjual haiwan ternakan dan buah-buahan tempatan untuk mencari pendapatan tambahan.

Pritam Singh. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2021.

“Apa pun saya yakin ramai rakyat khususnya golongan B40 cukup lega dan berterima kasih atas bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan sejak penularan wabak Covid-19,” katanya yang memiliki pendapatan RM,1000 sebulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM10 bilion demi meneruskan afenda prihatin rakyat.

Untuk ketahui lebih lanjut manfaat yang boleh anda terima layari https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/

– MalaysiaGazette