Bekas ahli DPMM Ghazali Ahmad (kanan) ketika ditemui di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah wang berjumlah RM26 juta milik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah wang berjumlah RM26 juta milik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Bekas ahli DPMM, Ghazali Ahmad berkata, tanah dan wang pampasan yang diterima pada 2013 yang mana ia hasil daripada tuntutan saman dewan itu ke atasĀ  kerajaan negeriĀ  Johor pada tahun 2009.

Katanya, pihak pengurusan tertinggi DPMM tidak pernah memberi maklumat sebenar mengenai penyaluran keluar masuk wang pampasan terlibat sehingga beliau dilucutkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Daerah DPMM, dua tahun lalu.

“Kita bukannya menuduh. Kita buat laporan ini untuk pastikan jika ada penyelewengan, ada salah guna kuasa. Kita mintak SPRM siasat dan kalau betul ada buat tindakan.

“Kalau tak ada kita pun tak boleh cakap apa. Sepanjang penglibatan dengan DPMM dan ketika menjadi ahli jawatankuasa negeri saya telah berulang kali mempersoalkan ke mana ia digunakan tetapi tidak diendahkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM, di sini, hari ini.

Menurut Ghazali, tujuan laporan yang dibuat adalah bagi meminta suruhanjaya itu meneliti, menyiasat dan mengambill tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya wujud sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan terhadap pengurusan kewangan DPMM selepas menerima wang pampasan sebanyak RM26 juta.

Tambah beliau, bagi mengelakkan lebih banyak kerugian yang akan ditanggung dewan itu.

Sementara itu, sumber memberitahu, audit forensik sedang dijalankan dan akan diserahkan kepada SPRM bagi tujuan siasatan. – MalaysiaGazette