Reaksi penduduk selepas kawasan kediaman mereka dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.
KUALA LUMPUR – Dengan 34 mukim di Selangor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dianggarkan lebih 90 peratus kilang di negeri itu tidak boleh beroperasi.

Pengerusi Persekutuan Pengeluar-Pengeluar Malaysia cawangan Kuala Lumpur dan Selangor, Jacob Lee berkata, kerajaan hanya membenarkan tiga kategori kilang beroperasi iaitu makanan kering, minuman dan kesihatan.

Katanya, sebanyak 90 peratus kilang bagaimanapun tidak terletak dalam tiga kategori yang dibenarkan beroperasi.

Tambahnya, Selangor merupakan kawasan tumpuan kilang dengan kira-kira 47 peratus ahli FMM kebangsaan adalah dari Selangor.

“Apabila kawalan penuh dilaksanakan pada 1 Jun, tinggal 30 peratus kilang sahaja yang boleh beroperasi.

“Dengan pelaksanaan PKPD pula, kini hanya tinggal tidak sampai 10 peratus kilang yang boleh beroperasi,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, kilang yang dibenarkan beroperasi dijangka berdepan masalah rantaian bekalan apabila kilang bahan mentah dan kilang pemprosesan lain tidak boleh dibuka.

“Sebagai contoh, telah berlaku kekurangan kayu pelet dalam pasaran dan keadaan ini menjejaskan eksport negara kerana peniaga perlu menggunakan pelet untuk meletak barang yang akan dieksport,” katanya.

Menurutnya, walaupun pekerja kilang tertentu dibenarkan bekerja, tetapi operasi tetap terganggu kerana isu rantaian bekalan.

Katanya, ‘gangguan’ oleh pihak berkuasa juga menyebabkan sesetengah kilang lebih rela menghentikan operasi secara sukarela walaupun dibenarkan dibuka.

“Mereka tidak mahu beroperasi dalam keadaan kebimbangan,” katanya.

Tegas Jacob, jika industri di Selangor ‘terbunuh’ maka keadaan ekonomi negara juga akan mengalami situasi serupa kerana Selangor menyumbang 24.7 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Pengilang di Selangor juga menyediakan pelbagai peluang pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette