Ronnie Liu salah seorang pemimpin politik dilihat hadir memberi sokongan kepada penanam durian yang direman di Mahkamah Raub, Pahang hari ini.

KUALA LUMPUR – Lagi isu pemimpin politik  melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hari ini, seorang pemimpin DAP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang tinggal di Selangor didakwa merentas negeri walaupun ketika ini hampir seluruh kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan melalui Fasa 1 Pelan Pemuihan Negara.

Satu video tular hari ini memaparkan pemimpin itu hadir memberi sokongan kepada 18 pekebun durian yang dibawa ke Mahkamah Raub di Pahang untuk mendapat perintah tahanan reman.

Bagaimanapun difahamkan seorang wakil rakyat dibenarkan merentas negeri namun mereka tetap bergantung dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman mendedahkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

“Ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPPPB 2021.

“Dia dibenarkan rentas negeri kerana merupakan ahli politik, apa pun kita buka juga siasatan di bawah Peraturan 17 PPPPPB kerana walaupun dia boleh rentas negeri tetapi bergantung prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi kita buka juga siasatan dan (siasatan) sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi di perkarangan Mahkamah Raub menjadi kecoh seketika apabila berlaku pergaduhan mulut antara polis dan pemimpin politik.

Ketika itu polis meminta kumpulan ahli politik untuk beredar dari kawasan mahkamah selepas individu yang direman dibawa keluar sehingga menyebabkan keadaan tegang.

Selain Ronnie  turut hadir di perkarangan itu termasuklah Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack serta Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji.

Mahkamah Majistret Raub hari ini telah membenarkan 18 pekebun durian Musang King itu direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut selepas ditahan malam tadi.

Polis menahan mereka selepas berlaku sedikit pergaduhan ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. -MalaysiaGazette