Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganjurkan kempen Bantuan Prihatin 2021 melalui Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd demi membantu individu terkesan Covid-19.

Pengasas Yayasan Nurjiwa merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd itu berkata, bantuan akan diserahkan kepada kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.

“Kita memfokuskan kepada barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dengan keluarga di Selangor dan Kuala Lumpur boleh memohonnya.

“Kami harap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai anak kecil. Kami akan usahakan secara berperingkat dan menyasarkan 1,500 keluarga terjejas akibat pandemik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berharap lebih banyak pihak akan menyertai misi bantuan itu sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin.

Siti turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kesudian beberapa pihak menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin.

Antara syarikat yang menyalurkan sumbangan adalah Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd.

Bagi yang ingin memohon bantuan dalam program Bantuan Prihatin 2021 boleh memberi maklumat lengkap dengan melayari https://forms.gle/g4WzEVHYsTt9pC548.

Keluarga dalam kesusahan dan mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah layak memohon

Hanya suami atau isteri dibenarkan mengemukakan permohonan.-MalaysiaGazette