Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak mengadakan kerjasama dengan Sunway Carnival bagi mengutip bayaran RM50 kepada individu yang berminat mendapatkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan, tiada kerjasama dilakukan oleh MBSP dengan mana-mana pihak bagi tujuan tersebut berikutan suntikan vaksin adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diselaras oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan informasi yang tidak sahih serta mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, MBSP menafikan satu kandungan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berkaitan kerjasama tersebut.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memberi vaksin Covid-19 kerana pemberian vaksin adalah di bawah PICK.

Antara kandungan dalam mesej yang tular itu mendakwa MBSP dan Sunway Carnival telah menawarkan kadar vaksin bernilai RM50 untuk dua kali dos suntikan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast