Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi jaminan isu tunggakan pembiayaan hingga mempunyai lebihan bayaran tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekiranya perkara itu berulang, ia hanya menunjukkan kelemahan institusi pembiayaan pendidikan nasional itu.

“Itu kelemahan yang kita dapati dalam sistem kita, dan saya mengarahkan supaya pegawai-pegawai kita di PTPTN menjalankan siasatan segera.

“Sebab jika satu sen boleh jadi lebih banyak, maka ia melambangkan kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti UCSI, Cheras, hari ini.

Beliau mengulas isu bekas peminjam PTPTN sebelum ini yang mempunyai tunggakan bayaran yang sudah dilangsaikan.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun, peminjam tersebut menerima lebihan bayaran sehingga RM500 daripada PTPTN.

Wan Saiful juga berkata, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan kes tersebut yang telah diambil tindakan sejak minggu lalu.

“Saya sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif kita untuk menjalankan siasatan segera.

“Sebenarnya dalam minggu lepas pun saya bincang dengan beberapa orang di peringkat Lembaga Pengarah.

“Kita sedang menunggu hasil siasatan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan perkara tersebut berulang lagi jika kelemahan sistem PTPTN sedia ada tidak diatasi secepat mungkin.

“Setakat saya dimaklumkan bahawa kes spesifik tersebut telah pun diselesaikan.

“Tapi kebimbangan saya adalah jangan jadi lagi selepas ini.

“Sebab itu saya mengarah supaya diadakan satu semakan yang sepenuhnya untuk menghalang kelemahan sama berulang,” katanya. – MalaysiaGazette