KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal mengekang penularan Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua.
Bekas Menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pelaksanaan dasar kerajaan dalam menangani masalah global itu dilihat caca marba dan tidak mengurangkan langsung kes positif Covid-19.
“Kalau sistem kesihatan ada kekurangan, sekarang masanya untuk reset semula supaya jangan lagi ramai orang yang mati, atau lebih 40 peratus kes di kilang, kena fokus di kilang sahaja.
“Saya pernah cadangkan adakan vaksinasi bergerak di kilang bukan di pusat beli belah. Sekurang-kurangnya satu sektor yang memang ada 48 peratus kes, fokus di situ.
“Cara kerajaan sekarang caca marba untuk tadbir isu Covid-19,” katanya selepas menjadi tetamu temubual eksklusif Reset Malaysia berjudul ‘Permasalahan dan Solusi’, hari ini.
Hadir sama adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Justeru itu, bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu menggesa agar kerajaan segera membuat ‘reset semula’ di peringkat nasional mengenai pelaksanaan langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
“Reset semula cara kerajaan beroperasi, siapa yang bertanggungjawab kita tidak tahu.
“Kalau tidak boleh berbuat demikian, kena ada kerajaan baharu yang boleh tangani penularan Covid-19,” katanya.
Malah beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira masalah sebenar yang dihadapi rakyat selepas hampir dua tahun pandemik ini melanda negara.
“Sampai masanya reset semula secara nasional ke mana arah hala tuju negara. Kita mulakan balik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette