TATKALA sekolah ditutup kembali sejak pertengahan bulan Mei 2021, semua murid
terpaksa menempuhi kembali mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR.
Keadaan ini serupa dengan suasana tahun 2020 yang menyaksikan mod PdPR diaktifkan
sebagai respon terhadap arahan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19. Seringkali kedengaran PdPR seakan membosankan kerana murid perlu menghadap
peranti seperti komputer riba atau telefon pintar secara lebih kerap untuk menghadiri kelas dalam talian.
Namun begitu, dalam menjadikan PdPR lebih menarik, beberapa langkah boleh
diambil. Dalam perkembangan dunia semasa, pembelajaran berasaskan projek (PBP) menjadi semakin popular di serata dunia. Mod pendidikan secara PdPR sebenarnya membuka ruang untuk PBP mendapat tempat yang lebih baik dalam sistem pendidikan negara.
Melalui PBP, setiap murid boleh diberikan peluang dan ruang untuk mereka bentuk
projek-projek yang mempunyai unsur-unsur kreativiti dan inovasi. Misalannya, bagi subjek seperti Sains, begitu banyak jenis projek yang boleh dijalankan oleh murid. Pertama, murid boleh menginovasikan eksperimen-eksperimen dalam makmal kepada eksperimen di rumah yang menggunakan bahan-bahan kos rendah. Sebagai contoh, dalam memahami sistem ayunan bandul yang popular dalam subjek Fizik, bandul boleh ditukar dengan objek lain yang bertindak menggantikan bandul biasa yang digunakan dalam makmal. Objek seperti botol berisi air atau pasir antara pengganti yang sesuai.
Kedua, inovasi melibatkan penghasilan produk yang mengaplikasikan konsep-konsep
penting dalam sesuatu subjek. Bagi subjek seperti Matematik, murid boleh menghasilkan produk makanan seperti biskut yang mengaplikasikan konsep Geometri, Isipadu, Perimeter, dan Luas. Murid boleh diminta untuk menjadi seorang penghasil biskut yang turut memahami konsep Matematik di sebalik penghasilan biskut terbabit. Hatta, jika berkemampuan, murid dapat pula menjual biskut tersebut.
Ketiga, inovasi peralatan dalam rumah. Misalannya, menukar fungsi bahan-bahan
yang boleh diguna semula kepada peralatan yang bermanfaat untuk pembelajaran. Bahan
seperti botol minuman, belon, kepingan kayu, plastik, getah, dan kertas diguna semula untuk menghasilkan model-model peralatan ala-ala prototaip seperti model kereta Newton yang mengaplikasikan konsep Fizik seperti Hukum Gerakan Newton Ke-3.
Banyak lagi jenis projek yang murid boleh laksanakan apabila berada di rumah. Ini
termasuklah jika di rumah mereka ada mesin jahit maka mereka boleh menghasilkan pakaian yang cantik dan bahkan boleh dijual kepada orang lain.
Pilihan lain yang sesuai ialah untuk menganalisis data-data yang boleh didapati dalam
rumah. Sebagai contoh, apabila semua rakyat berada dalam suasana Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), bil elektrik akan melambung kerana tempoh berada di rumah selama 24 jam. Justeru, apakah cara untuk bil tersebut boleh dikurangkan pada tahap yang mampu dibayar? Dalam hal ini, murid boleh diminta untuk mengkaji tabiat penggunaan elektrik ahli-ahli keluarga, membuat pemerhatian dan merekodkan catatan pemerhatian. Sekiranya didapati penggunaan pengering pakaian menjadi punca, maka mungkin murid boleh sarankan kepada ahli keluarga agar sebahagian pakaian dijemur di luar untuk mengurangkan penggunaan elektrik.
Dalam merealisasikan PBP, guru haruslah membuat perancangan sistematik melalui
garis masa yang sesuai dan paling penting ialah memperhalusi sumber-sumber yang dimiliki oleh murid dalam rumah mereka. Apa-apa sahaja barang atau bahan yang berguna dalam rumah murid boleh dimanfaatkan untuk membuat projek. Pada asasnya, murid tidak perlu berbelanja besar untuk melaksanakan projek. Mereka hanya menggunakan semula bahan atau barang yang sedia ada di rumah.
Guru sememangnya perlu membantu murid yang melaksanakan projek kerana tidak
semua murid berpengalaman menjalankan projek. Pendekatan PBP ini pada umumnya masih lagi asing dalam sistem pendidikan kebangsaan. Antara bentuk bantuan dan sokongan yang boleh guru berikan ialah khidmat nasihat sekiranya murid berdepan cabaran memulakan projek, memberikan idea atau cadangan jika murid menghadapi masalah ketika projek dijalankan, atau boleh berkomunikasi dalam medium dalam talian untuk melihat kemajuan projek murid.
Proses yang penting ialah memberikan maklumbalas kepada murid cara-cara untuk
menjadikan projek mereka lebih menarik dan mempunyai potensi besar untuk dimajukan
pada masa akan datang. Pada akhir proses, guru boleh meminta murid melaksanakan pembentangan projek. Proses ini boleh dianggap sebagai paling mengujakan kerana di sinilah terhasilnya produk-produk projek oleh murid yang turut boleh dipertontonkan kepada rakan-rakan sekelas mereka semasa pembentangan.
Pembelajaran berasaskan projek (PBP) ini diyakini bukan sahaja melatih murid
menjadi seorang pencipta, penginovasi dan penyelidik muda, bahkan guru memperoleh
manfaat kerana mendapat bukti bahawa sebahagian murid sudah mampu mencapai tahap
penguasaan (TP) peringkat ke-6 dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Matlamat akhir kepada projek-projek sebegini ialah murid menjadi orang yang kreatif, inovatif dan berpemikiran kritikal terhadap projek yang dijalankan.
Ini berbeza dengan falsafah dan amalan pendidikan untuk lulus atau cemerlang dalam
peperiksaan kerana pembelajaran berasaskan projek (PBP) lebih menuju kepada maksud
kemenjadian murid berbanding hanya menjadi cemerlang dalam peperiksaan. Semoga kesempatan yang ada dalam tempoh PKP ini dimanfaatkan oleh guru untuk para murid melaksanakan projek agar mereka ada rasa teruja untuk mengaplikasikan konsep-
konsep yang mereka pelajari ke dalam kehidupan atau aktiviti harian mereka.
Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin,
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
(sedang menjalani Latihan Ikhtisas di sebuah sekolah menengah)